Apakah skim kontrak ternakan ayam tersebut?
Perusahaan ayam di negara ini telah maju setapak lagi dengan wujudnya sistem integrasi ternakan ayam daging. Pemeliharaan ayam daging berkontrak adalah sebahagian daripada sistem integrasi ternakan ayam tersebut. Di dalam sistem integrasi ternakan ayam daging, beberapa komponen seperti ladang ayam pembiakan dan penetasan, pengilang makanan ternakan, kesihatan ternakan, loji pemprosesan, pengembangan dan pemasaran ayam adatah dikawal oleh sesebuah syarikat yang besar yang juga dikenali sebagai integrator. Pemeliharaan ayam daging biasanya dilakukan oleh penternak secara kontrak di bawah kelolaan integrator tersebut.
Secara ringkas struktur organisasi sistem integrasi ternakan ayam daging adalah seperti Rajah 1.
INTEGRATOR
| <– Ladang Ayam Pembiakan
| <– Pusat Penetasan
| <– Kilang Makanan
| <– Kesihatan & Khidmat Nasihat
| <– Loji Memproses/Prosesan Lanjutan
| <– Pemasaran
|Pemeliharaan
|PENTERNAK —> dan ——–>
|Pengeluaran
|Ayam Daging
|PENGGUNA
Rajah 1: Struktur Organisasi Sistem Integrasi Ternakan Ayam Daging
Siapakah integrator-integrator ini?
Mereka ini terdiri daripada Kentucky Fried Chicken (KFC), Pertanian Charoen Pokphand (CP), Goldkist, Leong Hup, Cargill dan Malayan Flour Mills (MFM).
Apakah peranan saya di dalam integrasi ayam daging ini sebagai seorang penternak?
Peranan anda ialah memelihara anak-anak ayam dengan makanan dan lain-lain input yang telah dibekalkan oleh integrator kepada anda. Tetapi sebelum anda dibekalkan dengan segala input yang disebutkan, anda mestilah menandatangani surat perjanjian atau kontrak dengan pihak integrator terlebih dahulu.
Kenapa berkontrak?
Penternak hendaklah bersetuju memelihara anak-anak ayam dengan menggunakan makanan/ubat-ubatan dan mematuhi syarat-syarat dan nasihat yang diberikan oleh integrator. Harga anak ayam dan makanan termasuk harga ayam akan ditetapkan. Jika anda bersetuju dengan syarat-syarat dan harga anak ayam, makanan dan harga ayam daging yang akan dibeli semula oleh integrator, anda akan diminta menandatangani surat perjanjian atau kontrak dengan pihak integrator.
Apakah kebaikan menyertai skim kontrak ini daripada menternak ayam sendirian?
- Anda tidak memerlukan modal yang banyak untuk memulakan projek. Anda cuma perlu membiayai pembinaan reban dan peralatan serta bekalan api dan air.
- Sebagai seorang penternak kontrak, anda tidak perlu bimbang ke mana ayam daging anda yang telah cukup umur dan beratnya hendak dijual. Ini kerana pihak integrator akan membeli semula ayam-ayam daging yang telah anda pelihara.
- Masalah turun naik harga yang sentiasa berlaku tidak akan menjejaskan anda. Anda akan dibayar dengan harga di ladang yang telah ditetapkan seperti yang terdapat di dalam kontrak anda dengan pihak integrator.
- Bekalan anak ayam, makanan, ubat-ubatan dibekalkan kepada anda secara kredit. Input-input ini akan dibayar kepada integrator selepas ayam anda dijual kepada integrator tersebut.
Apabila kontrak telah ditandatangani dan reban serta peralatan-peralatan lain telah disediakan, anak ayam dan makanan akan terus dihantar ke reban anda.
Berapa lamakah satu-satu kontrak tersebut?
Ada yang mengikat kontrak untuk 1 atau 2 tahun. Tetapi, jika anda seorang penternak yang baik dari segi prestasi pemeliharaan ayam daging tersebut, kontrak tersebut boleh diperbaharui selepas ia tamat.
Tetapi jika anda didapati tidak memelihara ayam-ayam daging dengan baik dan selalu cuai dan rugi, kontrak anda boleh dibatalkan bila-bila masa oleh pihak integrator.
Bagaimana caranya untuk mendapatkan kontrak tersebut?
- Anda mestilah mempunyai tanah yang sesuai dan yang boleh dimasuki oleh lori. Jika tidak terdapat jalan yang sesuai, sukar bagi lori untuk masuk menghantar anak ayam dan makanan ke reban.
- Anda juga mestilah mempunyai modal yang cukup untuk mendirikan reban mengikut panduan daripada pihak integrator, membeli peralatan bekas makanan dan minuman dan lain-lain serta kemudahan air dan api.
- Hubungilah integrator yang bergiat menjalankan skim ini dan berdekatan dengan tempat anda. Tetapkan temujanji untuk pihak integrator pergi melihat tanah yang anda cadangkan sebagai tapak ternakan ayam daging kontrak tersebut.
Jika pihak integrator telah bersetuju dengan tapak tanah dan anda bersetuju dengan syarat-syarat kontrak, anda bolehlah menandatangani kontrak sebelum reban didirikan
Adakah latihan dan pengalaman diperlukan?
Ya. Malah jika anda telah dilatih untuk menternak ayam daging secara komersial, peluang anda untuk mendapatkan kontrak adalah lebih cerah lagi. Tetapi latihan saja bukanlah syarat yang utama untuk mendapatkan kontrak. Malah ramai penternak yang telah berjaya tidak pernah mendapat latihan yang formal.
Siapakah yang menyediakan latihan?
Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Sila hadir ke Pejabat Veterinar Daerah yang berdekatan untuk maklumat lanjut tentang kursus dan tarikh yang sesuai untuk anda
Di manakah latihan ini dijalankan?
Institut Teknologi Unggas, Ayer Keroh, Melaka.
Kursus ayam daging secara komersial yang dijalankan memakan masa selama 6 minggu.
Selepas penternak menyediakan reban dan peralatan yang diperlukan, apa pula peranan integrator?
Anak ayam dan makanan akan dihantar ke reban anda. Selain daripada. membekalkan anak ayam, makanan, ubat-ubatan dan khidmat nasihat, integrator akan memasarkan ayam-ayam yang telah anda pelihara dengan harga yang telah ditetapkan, seperti di dalam kontrak yang telah anda dan kontraktor persetujui dan tandatangani.