Perkhidmatan veterinar di negeri Selangor telah wujud seawal tahun 1900 dengan penempatan Doktor Veterinar bertauliah di bawah seliaan Jabatan Perubatan.
Pusat perkhidmatan pertama Doktor Veterinar ini adalah sebuah rumah kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dahulunya Batu Road), Kuala Lumpur. Pada ketika itu, semua Perkhidmatan Veterinar berada di bawah bidang kuasa Ketua Pegawai Perubatan yang berpusat di Singapura.
Tugas utama pegawai yang dilantik adalah mengawal wabak penyakit haiwan. Di samping itu, unit Pasukan Polis Veterinar (Veterinary Police Force) telah ditubuhkan di Jabatan Polis di bawah kawalan Ketua Polis Negeri. Unit ini ditugaskan untuk memusnahkan anjing-anjing liar dalam usaha menghapuskan penyakit anjing gila dan menjadi mata-mata untuk melaporkan sebarang kejadian penyakit haiwan. Walau bagaimana pun, unit ini kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Atendan Haiwan.