Sejarah

Sejarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Perkhidmatan veterinar di negeri Selangor telah wujud seawal tahun 1900 dengan penempatan Doktor Veterinar bertauliah di bawah seliaan Jabatan Perubatan. Pusat perkhidmatan pertama Doktor Veterinar ini adalah sebuah rumah kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dahulunya Batu Road), Kuala Lumpur.  Pada ketika itu, semua Perkhidmatan Veterinar berada di bawah bidang kuasa Ketua Pegawai Perubatan yang berpusat di Singapura. Tugas utama pegawai yang dilantik adalah mengawal wabak penyakit haiwan.  Di samping itu, unit Pasukan Polis Veterinar (Veterinary Police Force)  telah ditubuhkan di Jabatan Polis di bawah  kawalan Ketua Polis Negeri. Unit ini  ditugaskan untuk memusnahkan anjing-anjing liar dalam usaha menghapuskan  penyakit anjing gila dan menjadi mata-mata untuk melaporkan sebarang kejadian penyakit haiwan.  Walau bagaimana pun, unit ini kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Atendan Haiwan.

Pada tahun 1932, Perkhidmatan Veterinar telah dipisahkan dari Jabatan  Perubatan. Pemisahan ini merupakan asas kepada struktur organisasi Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) yang dapat dilihat pada masa kini.  Ianya beroperasi sebagai sebuah jabatan berasingan yang mempunyai Ibu Pejabat JPH Persekutuan dan Ibu Pejabat JPH-JPH negeri di bawah kelolaan Pengarah Penyelidikan Veterinar dan Penasihat Veterinar.

Setelah Pengisytiharan Kemerdekaan pada tahun 1957, JPH Malaysia telah menjadi sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian Malaysia. JPH-JPH negeri  pula berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri.  Seyogia, JPH Persekutuan dipimpin oleh Pengarah Perkhidmatan Haiwan dengan dibantu oleh Pegawai-pegawai Veterinar yang mengetuai JPH-JPH negeri.  Ini selaras dengan Senarai III (Senarai Bersama), Jadual Kesembilan, Perkara 74 dan 77, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 1963, Ibu Pejabat JPH Negeri Selangor (JPHSEL) telah berpindah ke bangunan milik bersama Kerajaan Negeri di Jalan Tanglin berhampiran Taman Botani Perdana Kuala Lumpur (dahulunya Taman Tasik Kuala Lumpur).  Ketika itu, lokasi ini memang strategik kerana berhampiran dengan pejabat dan agensi kerajaan negeri yang lain termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang beroperasi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1984, Ibu Pejabat JPHSEL menduduki bangunannya sendiri di Persiaran Barat berhampiran Hilton Petaling Jaya.  Kompleks Ibu Pejabat JPH Negeri Selangor ini juga menempatkan Makmal Veterinar Wilayah Tengah (dahulunya Makmal Veterinar Kawasan Petaling Jaya).  Penempatan semula Ibu Pejabat JPHSEL ini perlu dilaksanakan memandangkan selepas 1974, Kuala Lumpur telah menjadi Wilayah Persekutuan dan bukan lagi sebahagian daripada Negeri Selangor.

Tanggal 24 Mei 2008 merupakan tarikh bersejarah apabila nama Jabatan telah ditukarkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Department Veterinary Services – DVS).  Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat  Dato’ Mustapa bin Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Pada 1981, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.  Justeru, Ibu Pejabat DVS Negeri Selangor (DVSSEL) sekali lagi turut berpindah ke bangunan sendiri di Seksyen 15, Shah Alam pada 1992 bagi menyahut dasar Kerajaan Negeri yang menggalakkan semua ibu pejabat jabatan dan agensi negeri ini bertumpu ke ibu negeri Selangor ini.  Bangunan baharu Ibu Pejabat DVSSEL ini telah dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor pada 1993.

Sehingga kini, JPV merupakan satu-satunya jabatan kerajaan yang bertanggungjawab  ke atas pengawalan penyakit haiwan, pembangunan industri penternakan dan penguatkuasaan veterinar serta kebajikan haiwan di negara ini.