Jabatan Veterinar telah wujud seawal tahun 1888 lagi, di Pulau Pinang dengan penempatan Doktor Veterinar bertauliah di Jabatan Perubatan. Pada masa itu, tugas utama Doktor ialah memeriksa ternakan yang diimport dari luar Negara terutamanya Siam dan Kedah. Bagi melindungi Pulau Pinang daripada penyakit bawaan haiwan yang diimport ketika itu, maka sebuah pusat kuarantin telah dibina pada tahun 1896 dan pusat ini merupakan pusat kuarantin yang pertama di Malaysia.
Perkhidmatan Veterinar mula berkembang di negeri-negeri lain dengan pewujudan
Cawangan Veterinar di Jabatan Perubatan dengan penempatan Doktor Veterinar dan
Pemeriksa Veterinar. Semua Perkhidmatan Veterinar berada di bawah bidang kuasa
Ketua Pegawai Perubatan yang berpusat di Singapura sehingga tahun 1930.
Pada masa itu, tugas utama pegawai yang dilantik ialah mengawal wabak penyakit
haiwan (epidemik). Disamping itu, satu unit Veterinary Police
Force telah ditubuhkan di Jabatan Polis di bawah
kawalan ketua polis negeri. Unit ini juga ditugaskan untuk memusnahkan
anjing-anjing liar dalam usaha menghapuskan penyakit anjing gila dan
menjadi mata-mata untuk melaporkan sebarang kejadian penyakit haiwan.
Walaubagaimanapun, unit ini kemudiannya dimasuhkan dan digantikan dengan atendan
haiwan.
Pada tahun 1930, Perkhidmatan Veterinar telah dipisahkan dari Jabatan
Perubatan. Pemisahan ini merupakan asas kepada penubuhan Jabatan Perkhidmatan
Haiwan. Kemudiaan Jabatan Perkhidmatn Haiwan juga ditubuhkan di Majlis
Kerajaan Tempatan seperti di Pulau Pinang dan Melaka. Pada tahun 1934, ibu
pejabat jabatan Perkhidmatan Haiwan telah dipindahkan dari Singapura ke Kuala
Lumpur dan seterusnya pembentukan sebagai Jabatan berasingan di bawah kelolaan
Pengarah Penyelidikan Veterinar dan Penasihat Veterinar, sehinggalah Perang
Dunia ke-2. Semasa zaman pemerintahan British, Jabatan Perkhidmatan Haiwan
disusun semula dan menjadi asas organisasi sehingga kini.
Pada 16 November 1957, Allahyarham En. Johari Daud (Tan Sri Dato') telah
dilantik menjadi anak watan pertama menerajui Jabatan selepas kemerdekaan
negara. Peranan serta fungsi jabatan telah diperluaskan demi memenuhi aspirasi
rakyat dalam sebuah negara merdeka sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia.
Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia ialah sebuah agensi Kerajaan Persekutuan
dibawah Kementerian Pertanian Malaysia, manakala Jabatan Perkhidmatan Haiwan
Negeri ditadbir di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Sehinggalah pada tahun 2008
kini, Jabatan Perkhidmatan Malaysia telah diterajui oleh Sembilan (9) orang
Ketua Pengarah. Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia pernah
berada di Singapura sebelum berpindah ke Wisma Tani, Jalan Sultan Salahuddin,
Kuala Lumpur.
Kemudian berpindah lagi ke Bangunan Chase Perdana, Jalan Semantan Off Bukit
Damansara sebelum akhirnya pada Mei 2005, berpindah ke bangunan sendiri di
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Blok Podium Lot 4G1
dan 4G2, Presint 4, Pusat Pertadbiran Kerajaan Pesekutuan, Putrajaya sehingga ke
hari ini.
Akhirnya, sebagai satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab ke atas
pengawalan penyakit, kebajikan haiwan dan industri penternakan di negara ini,
maka perluasan skop tanggungjawab serta peranan jabatan bagi memenuhi aspirasi
sejagat telah membawa kepada penjenamaan semula Jabatan Perkhidmatan Haiwan
Malaysia. Tanggal 24 Mei 2008 merupakan tarikh bersejarah buat warga jabatan
khususnya dan organisasi Jabatan Perkhidmatan Haiwan umumnya apabila nama
Jabatan telah ditukarkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Pelancaran
tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato' Mustapa bin Mohamed, Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, dengan penuh bersejarah. Kini JPV
lebih matang dan berkeyakinan, untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan Jabatan serta Agensi Kementerian yang lain.
" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"